Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan, P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, yang mengandungi dua Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997.
Sejarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
Sejarahnya bermula dengan penubuhan SULTAN IDRIS TRAINING COLLEGE (SITC) pada 29 November 1922, satu-satunya institusi pengajian tinggi pada masa itu untuk melatih bakal guru tempatan. Kolej ini kemudian menerima pelajar dari Singapura, British Borneo, Brunei, Filipina, dan England kerana keupayaannya dalam melatih bakal guru yang berkualiti. Pada tahun 1959, SITC diubah nama kepada MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS (MPSI) sebagai memenuhi keperluan melatih bakal guru untuk sekolah rendah. Pada tahun 1987, ia dinaikkan taraf menjadi INSTITUT PERGURUAN SULTAN IDRIS (IPSI), sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai langkah permulaan untuk menjadi sebuah universiti awam.
UPSI mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) di Tanjong Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City. Lokasinya sangat strategik kerana terletak di antara dua negeri iaitu Negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Selangor Darul Ehsan.
Seramai lebih kurang 25,000 orang pelajar telah mendaftar untuk mengikuti pelbagai program pendidikan peringkat Diploma, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Ijazah Doktor Falsafah. UPSI menawarkan program seperti Diploma – Lepasan SPM, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) (Open Market) – tiada jaminan lantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) selepas tamat pengajian, Ijazah Sarjana Muda (bukan pendidikan), Ijazah Sarjana, dan Ijazah Doktor Falsafah.
Maklumat lanjut mengenai pengambilan/kemasukan ke UPSI boleh diperoleh melalui laman web atau menghubungi Unit Promosi dan Kemasukan, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjung Malim, Perak. No. Tel: 01548797982/7872/7992/7975, No. Whatsapp: 017-9742538, Laman web: www.upsi.edu.my/online.